KEPERLUAN KESIHATAN MENTAL KANAK-KANAK
Kenapa perlu kesihatan mental kanak-kanak?
Kanak-kanak merupakan aset Negara yang amat penting. Untuk membesar dengan sihat dan sempurna, keperluan fizikal dan mental kanak-kanak perlu dipenuhi. Sokongan dari ibu bapa akan dapat membantu kanak-kanak mencapai potensi mereka sepenuhnya dan membentuk peribadi anak-anak apabila mereka dewasa. Adalah mudah untuk mengenal pasti keperluan fizikal kanak-kanak berbanding dengan keperluan mental dan juga keperluan emosi. Biasanya, ibu bapa akan menyediakan keperluan – keperluan asas kepada anak-anak mereka seperti makanan sihat, tempat tinggal serta pendidikan yang baik dengan harapan kanak-kanak ini akan membesar dengan sempurna dan berjaya dalam kehidupan. Dalam pada itu, aspek kesihatan mental dan emosi kanak-kanak sering kali tidak diberi perhatian. Kesihatan mental yang baik amat diperlukan untuk menjamin kanak-kanak dapat belajar dengan sempurna, menjalani perkembangan sosial yang baik dan juga dapat mempelajari kemahiran baru.
Seandainya keperluan kesihatan mental dan emosi kanak-kanak tidak dipenuhi, ia boleh mengakibatkan masalah mental di kalangan mereka. Ibu bapa perlu mengetahui keperluan asas kesihatan mental anak-anak mereka agar keperluan ini dapat disediakan dengan sempurna bagi membantu kanak-kanak mempertingkatkan daya kecerdasan, harga dan keyakinan diri serta perkembangan emosi yang baik, kanak-kanak perlu didedahkan dengan keadaan persekitaran yang kondusif, bergaul dengan rakan sebaya yang sesuai dan juga bimbingan yang berterusan dari ibu bapa dan guru-guru.
Apakah keperluan kesihatan mental kanak-kanak?
Keperluan kesihatan mental kanak-kanak adalah seperti berikut:
- Kasih sayang yang tidak berbelah bagi daripada ibu bapa
- Menyediakan peluang untuk mereka bermain dengan kanak-kanak lain dan rakan-rakan sebaya
- Berpeluang membina keyakinan diri dan harga diri
- Persekitaran yang selamat, tenteram dan terjamin
- Memperoleh sokongan, bimbingan, disiplin dan galakan daripada ibu bapa, guru dan penjaga
Kasih sayang yang tidak berbelah bagi dari ibu bapa
Adalah amat penting bagi sesebuah keluarga hidup dalam suasana yang harmoni dan penuh kasih sayang. Walaupun setiap keluarga berbeza dari segi latar belakang dan budaya, aspek kasih sayang perlu wujud dan menjadi keutamaan. Kanak-kanak itu perlu mengetahui bahawa diri mereka disayangi. Mereka perlu tahu bahawa kasih sayang yang diterima tidak bersyarat dan tidak bergantung kepada kesalahan ataupun kesilapan yang mereka lakukan. Sering kali, dalam sesebuah keluarga, wujud keadaan di mana salah seorang anak berasa mereka kurang atau tidak disayangi oleh ibu bapa dan ahli keluarga yang lain, mereka meletakkan kegagalan pencapaian mereka sebagai salah satu sebab mengapa mereka tidak disayangi. Di samping itu juga, terdapat kanak-kanak yang merasakan mereka mendapat kurang kasih sayang disebabkan diri mereka yang kurang menyerlah dari segi kebolehan berbanding adik beradik yang lain. Dalam situasi sebegini, kanak-kanak perlu diyakinkan bahawa kasih sayang yang diterima tidak bergantung kepada pencapaian atau kegagalan mereka. Mereka perlu tahu bahawa setiap kanak-kanak mempunyai kelebihan dan kekurangan masing- masing dan segala kekurangan atau kegagalan perlulah diterima seadanya. Kasih sayang yang tidak berbelah bagi dari ibu bapa dan ahli keluarga akan dapat membantu kanak-kanak yakin terhadap diri sendiri dan berasa diri mereka dilindungi.
Kanak-kanak perlu diberi peluang bermain dengan kanak-kanak lain dan rakan sebaya
Dalam membesarkan kanak-kanak, ada ketikanya ibu bapa terlupa kanak-kanak perlu diberi masa untuk bermain. Dalam mengejar arus pemodenan masa kini, ibu bapa lebih memberi penekanan kepada pencapaian akademik sehingga ada ketikanya kanak-kanak langsung tiada masa bermain atau beriadah. Kerap kali ibu bapa mengucapkan kata-kataseperti “Kamu asyik nak main sahaja” atau ”Baca buku itu, jangan main” tanpa menyedari kepentingan bermain bagi kanak-kanak. Peluang seharusnya diberikan kepada kanak-kanak untuk bermain sama ada sendirian atau dengan kawan-kawan secara berkumpulan.
Bermain merupakan suatu elemen penting dalam kehidupan kanak-kanak dan sama pentingnya dengan keperluan lain seperti belajar, makan dan tidur.. Bermain mengajar kanak-kanak berinteraksi dengan orang lain serta dapat memupuk kemahiran bersosial seperti berkawan, mengawal diri, berkongsi dan bertoleransi. Bermain juga membantu kanak-kanak memupuk kreativiti dan menyesuaikan diri terhadap persekitaran. Sewaktu bermain, kanak-kanak bebas untuk berlari, ketawa dan menjerit dan ini dapat membantu pernafasan dan menggalakkan mereka meluahkan perasaan. Pada masa yang sama bermain bersama rakan-rakan akan juga membantu kanak-kanak mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri mereka dan mempelajari cara bermain dengan betul.
Apabila bermain dengan rakan sebaya, kanak-kanak biasanya berasa selesa dan ini membantu meningkatkan keyakinan diri. Dalam mengharungi kehidupan masa kini, ada juga sesetengah ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anak mereka bermain dengan rakan sebaliknya membiarkan menonton televisyen, melayari Internet atau bermain ”video game” tanpa pemantauan dengan alasan tidak mahu anak keluar dari rumah. Amalan ini tidak sepatutnya berlaku. Ibu bapa seharusnya memastikan masa menonton dihadkan dan memilih rancangan yang sesuai untuk ditonton supaya kanak-kanak tidak terpengaruh dengan perlakuan negatif dari televisyen dan permainan video. Ibu bapa perlu bermain dengan kanak-kanak dan melakukan aktiviti bersama. Ini dapat memberi peluang kepada ibu bapa berinteraksi dan berkongsi pendapat bersama anak-anak.
Kanak-kanak perlu diberi peluang membina keyakinan dan harga diri.
Sebagai kanak-kanak, mereka seharusnya dibimbing untuk mencuba aktiviti baru mengikut kebolehan mereka. Di peringkat kanak-kanaklah mula terbentuk personaliti, keyakinan dan harga diri jika diberi bimbingan yang baik. Harga diri terbentuk apabila kanak-kanak belajar menilai diri, menyayangi diri sendiri menghormati diri sendiri dan orang lain. Bagi mencapai kejayaan dalam sebarang bidang yang diceburi, kanak-kanak semestinya mempunyai harga diri dan keyakinan diri yang tinggi. Keyakinan dan harga diri boleh dibentuk dengan beberapa cara antaranya memberi pujian sekiranya berjaya dalam perkara yang dilakukan dan galakan untuk mencuba lagi sekiranya menghadapi kegagalan. Ibu bapa perlu memberi pujian kepada anak-anak sekiranya mereka telah berbuat sesuatu perkara yang baik. Dengan cara ini, kanak-kanak akan merasa diri mereka dihargai dan disayangi.
Kanak-kanak juga mempunyai perasaan. Kata-kata seperti ”Syabas” dan ”Tahniah” adalah antara kata-kata yang boleh menyuntik semangat kanak-kanak untuk berusaha dengan lebih gigih dan meningkatkan harga diri mereka. Sekiranya ibu bapa atau orang dewasa mengeluarkan kata-kata yang negatif seperti ”Kenapa bodoh sangat?” ”degil” dan ”tidak pandai”, ini akan menyebabkan kanak-kanak berasa rendah diri. Elakkan dari mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan dan menyindir bila kanak-kanak melakukan kesilapan. Mereka akan mempunyai perasaan takut untuk berbuat kesilapan dan membesar dengan mempunyai harga diri yang rendah. Selain itu, kanak-kanak perlu dibimbing untuk memilih aktiviti yang sesuai dengan keupayaan mereka. Mereka perlu diberi dorongan dan bimbingan dalam menentukan matlamat dan cita –cita. Ibu bapa mestilah mampu berbincang dan mengakui kesilapan sendiri bila berbuat silap. Ini akan membantu mereka menghargai kejujuran dalam membentuk sifat-sifat terpuji semasa membesar.
Kanak-kanak memerlukan persekitaran yang selamat, tenteram dan terjamin
Bagi menjamin tumbesaran dan perkembangan mental yang sihat, persekitaran di mana kanak-kanak itu tinggal perlulah selamat. Kanak-kanak memerlukan kasih sayang dan perlindungan daripada keluarga mereka. Untuk kanak-kanak ini membesar dengan penuh keyakinan, kanak-kanak perlulah berada dalam persekitaran fizikal dan emosi yang selamat dan menggalakkan bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti seharian. Sama ada persekitaran itu di rumah, sekolah, pusat jagaan,pusat pembelajaran dan taman permainan kanak-kanak perlulah dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang boleh menghalang berlaku kecederaan dan pencabulan hak kanak-kanak. Keselamatan yang dimaksudkan ini tidak tertakluk kepada keselamatan fizikal tetapi turut merangkumi keselamatan emosi. Sesebuah keluarga yang berdepan dengan konflik boleh mempengaruhi kesihatan mental kanak-kanak. Ibu bapa yang sering bergaduh dan mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki hamun boleh menyebabkan kanak-kanak berasa keliru, sedih dan sentiasa menyalahkan diri mereka sendiri akibat dari apa yang berlaku kepada ibu bapa. Kanak-kanak yang menghadapi situasi sebegini akan menjadi sukar bersuara pasif serta tidak tegas diri. Kanak-kanak ini menjadi takut untuk menyuarakan keinginan dan perasaan mereka sendiri. Persekitaran yang ceria akan membantu kanak-kanak menjadi cergas, aktif, berani bersuara dan menyatakan pendapat tanpa perasaan takut dan bimbang.
Kanak-kanak memerlukan bimbingan dan disiplin sewajarnya dari ibu bapa, guru dan penjaga
Sekiranya kanak-kanak melakukan kesalahan, mereka perlu didisiplinkan . Keluarga dan masyarakat bertanggungjawab untuk memberikan bimbingan dan disiplin sewajarnya kepada kanak-kanak. Dalam mendisiplinkan anak-anak, ibu-bapa perlu memberi teguran yang konsisten. Sekiranya mereka melakukan kesalahan, hukuman perlu diberi. Walau bagaimanapun, hukuman fizikal seperti merotan, memukul dan menampar akan menyebabkan kanak-kanak memberontak dan menjadi lebih agresif. Hukuman yang diberi perlu mengajar mereka mendisiplinkan diri sendiri seperti hukuman mendenda mereka melakukan kerja rumah , tidak membenarkan mereka keluar rumah untuk bermain (grounded), berdiri menghadap dinding (time-out), atau memotong wang perbelanjaan bertujuan mengajar memperbaiki diri dan ke arah kebaikan. Anak-anak perlu diterangkan mengapa mereka dihukum. Ketegasan ibu bapa diperlukan dan anak-anak perlu diberitahu bahawa kemarahan hanya pada tingkah laku mereka dan bukan pada diri mereka.
Apakah kesan jika kesihatan mental kanak-kanak terganggu?
Sekiranya kesihatan mental kanak-kanak terganggu, kanak-kanak akan mengalami perkara berikut:
- pelajaran merosot
- bimbang, susah hati, kecewa dan sedih
- ponteng sekolah
- tidak mengambil bahagian dalam aktiviti sekolah
- menjadi agresif dan melawan orang tua
- masalah kencing malam
- mengalami mimpi ngeri dan menakutkan
PENJAGAAN MULUT KANAK-KANAK
Penjagaan kesihatan pergigian penting untuk mencegah kerosakan gigi dan penyakit gusi di kalangan kanak-kanak. Kesihatan pergigian yang baik membolehkan mereka mengunyah makanan dengan selesa dan bertutur dengan jelas.
Amalan penjagaan kesihatan pergigian yang baik merangkumi 3 langkah pencegahan utama seperti berikut:
1) Penjagaaan kebersihan gigi yang baik :
Berus gigi sehingga bersih setiap hari terutama selepas makan dan sebelum tidur malam.
Guna ubat gigi berfluorida untuk kanak-kanak semasa memberus gigi. Picitkan ubat gigi sebesar biji kacang soya sahaja untuk anak yang berumur 2 tahun ke atas.
Selia atau bantu anak anda memberus gigi sehingga mereka berumur 6 hingga 8 tahun.
Berkumur-kumur dengan segera selepas makan atau minum jika tidak berkesempatan memberus gigi.
Jangan berkongsi berus gigi.
Tukar berus gigi jika bulu berusnya mula kembang.
2 Makan secara sihat :
Makan makanan yang seimbang. Lebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran segar.
Elakkan menambah gula ke dalam minuman kanak-kanak. Sekiranya menggunakan botol susu, pastikan minuman tersebut tidak mengandungi gula.
Jangan sekali-kali mencelup puting botol susu ke dalam gula atau manisan.
Elakkan minum minuman berkarbonat dan jus buah-buahan bergula kerana kandungan gulanya tinggi.
3) Pemeriksaan pergigian secara berkala :
Bawalah anak anda berjumpa doktor pergigian atau jururawat untuk pemeriksaan seawal usia untuk membiasakan mereka dengan suasana klinik pergigian.
Dapatkan pemeriksaan pergigian sekurang-kurangnya sekali setahun tetapi bagi mereka yang berisiko tinggi mendapat kerosakan gigi ( karies gigi ), pemeriksaan lebih kerap mungkin diperlukan.
Segera dapatkan nasihat dan pemeriksaan dari doktor pergigian jika berlaku kecederaan gigi atau mengalami masalah pergigian.
MASALAH MULUT BERDARAH
Apa yang dimaksudkan oleh istilah bermasalah perdarahan?
Seseorang itu dikatakan mempunyai masalah perdarahan bilamana ia cenderung untuk berdarah secara berlanjutan bila tercedera atau terluka. Di bidang pergigian, perdarahan berlanjutan ini boleh berlaku selepas menjalani cabutan gigi atau penskaleran. Langkah untuk mencegah rawatan-rawatan ini dari terpaksa dilakukan adalah amat penting bagi kanak-kanak bermasalah perubatan ini.
Kawalan perdarahan melibatkan:
Pengecutan salur darah di kawasan yang terlibat.
Pembentukan kelompok platelet.
Pembekuan darah- terdapat faktor dalam darah yang terlibat dalam pembekuan darah.
Sebarang gangguan dalam ketiga-tiga langkah ini boleh menyebabkan berlakunya perdarahan berlanjutan. Sebagai contoh:
Abnormaliti Platelet: Sama ada kerana kekurangan bilangan platelet atau gangguan pada fungsi platelet akan menyebabkan masalah perdarahan e.g. Aplastik Anemia dan Leukemia.
Masalah pembekuan darah seperti Hemophilia, Christmas Disease, Penyakit Von Willibrands, penyakit hati, dan kekurangan sesuatu faktor pengklotan darah.
Penggunaan ubat-ubatan yang mengganggu platelet atau pembekuan darah e.g Aspirin, Warfarin atau Heparin.
Abnormaliti salur darah e.g. Ehlers-Danlos Syndrome, scurvy atau malformasi salur darah.
Seorang kanak-kanak dengan leukemia kerap mengalami pengurangan bilangan platelet dalam darah. Ini menjadikan mereka cenderung menghadapi masalah perdarahan terutama jika kebersihan mulut tidak dijaga dan terdapat keradangan gusi. Keadaan menjadi lebih teruk apabila prosedur invasif dilakukan.
Gambar menunjukkan seorang kanak-kanak dengan leukemia dibersihkan mulutnya dengan kumuhan mengandungi klorheksidin untuk mengelakkan jangkitan dan keradangan yang boleh menyebabkan perdarahan.
Mengapa sangat penting untuk menjaga kesihatan mulut kanak-kanak ini:
Mulut yang sihat adalah amat penting bagi kanak-kanak dengan masalah perdarahan. Kebersihan mulut yang buruk akan menyebabkan inflamasi atau keradangan gusi. Gusi akan kelihatan bengkak, merah dan mudah berdarah jika tersentuh. Perdarahan dari gusi yang mengalami keradangan sukar dikawal, ini lebih lagi jika terdapat masalah perdarahan.
Mulut yang tidak terjaga juga boleh menyebabkan kerosakan gigi. Jika cabutan atau penskaleran terpaksa dilaksanakan sebagai rawatan, kemungkinan besar akan berlaku perdarahan yang banyak. Risiko ini dapat dielakkan dengan menjaga kebersihan dan kesihatan mulut kanak-kanak ini dari awal, sebelum masalah timbul.
Mengapa kesihatan mulut kanak-kanak ini begitu penting:
Kesihatan mulut yang buruk menyebabkan kerosakan gigi dan keradangan gusi.
Bagaimanakah cara kita menjaga kesihatan mulut kanak-kanak ini
Memberus gigi
Gigi kanak-kanak perlu diberus 2-3 kali sehari.
Pastikan anak tidur dengan mulut yang bersih. Semasa tidur air liur dan sisa makanan bertakung di dalam mulut. Ketika ini kerosakan gigi boleh berlaku jika gigi tidak dibersihkan terlebih dahulu
Kanak-kanak dibawah usia 7 tahun perlu dibantu semasa memberus gigi oleh orang dewasa. Kajian telah menunjukkan bahawa kanak-kanak dibawah usia 7 tahun belum cukup mahir untuk melaksanakan pemberusan secara berkesan . Ini paling penting pada waktu malam untuk memastikan kanak-kanak tidur dengan mulut yang bersih
Kebiasaannya kanak-kanak lebih dari 7 tahun boleh melaksanakan pemberusan dengan baik tetapi keberkesanan tugas ini harus dipantau oleh seorang dewasa.
Kanak-kanak kecil perlu diberuskan giginya oleh seorang dewasa, terutama sebelum tidur malam. Ini perlu dilaksanakan sehingga kanak-kanak berusia lebih kurang 7 tahun.
Ubat gigi gunakan
Kanak kanak berusia 2 tahun boleh menggunakan ubat gigi kanak-kanak yang berfluorida. Ubat gigi ini mempunyai paras fluorida sebanyak 500-600ppm. Pastikan ubat gigi digunakan hanya secalit atau sebesar kacang pis3. Penggunaan ubat gigi mestilah dikawal oleh ibubapa dan penjaga.
Setelah kanak-kanak tersebut pandai berkumur dengan berkesan, biasanya dalam umur 6 tahun ke atas, mereka boleh menggunakan ubat gigi orang dewasa yang mempunyai paras fluorida yang lebih tinggi. Ini akan memberi perlindungan yang lebih baik untuk kanak-kanak tersebut.
Berus gigi untuk kanak-kanak
Pilihlah berus yang lembut yang sesuai mengikut umur dan saiz anak anda. Gantikan dengan berus baru setiap 3 - 4 bulan, ataupun apabila bulu berus itu telah kembang.
Adakah dengan memberus gigi akan menyebabkan perdarahan
Kanak-kanak dengan paras platelet yang rendah(<20x109/l) boleh mengalami pendarahan akibat pemberusan gigi. Bagi kanak-kanak ini mulut dan gigi hanya boleh disapu dengan kumuhan mulut yang mengandungi 0.2% klorheksidin Gluconate sebagai mengganti pemberusan sehingga keadaan kanak-kanak stabil.
Selain kes di atas tiada kontra-indikasi terhadap pemberusan bagi kanak-kanak bermasalah pendarahan. Malahan pemberusan menjadikan gusi lebih sihat dan mengelakkan masalah pendarahan dari gusi.
Kawalan Pemakanan
Bagaimanakah pengawalan pemakanan mereka untuk memastikan kesihatan mulut yang baik?
Semua makanan dan minuman bergula boleh menyebabkan kerosakan. Ini termasuk kek, biskut dan kuih-kuih manis, minuman jus, kordial dan minuman berkarbonat.
Adalah agak sukar untuk mengelakkan sepenuhnya gula dalam pemakanan anak kita.
Yang penting adalah untuk mengenal pasti makanan bergula tersebut terutama yang melekit, mengawal pengambilannya dan memahami cara bagaimana ia boleh diambil dengan lebih selamat.
Kekerapan pengambilan makanan dan minuman bergula
Salah satu faktor penting menyebabkan kerosakan gigi adalah kekerapan pengambilan makanan dan minuman bergula. Asid yang menyebabkan kerosakan gigi terbentuk dalam mulut selepas setiap kali pengambilan manisan. Asid ini dibentuk oleh bakteria dengan menggunakan saki baki gula dalam mulut. Setelah terbentuk, kesan asid ini berkekalan sehingga hampir 20 minit. Lebih kerap pengambilan gula dalam sehari maka lebih lama dan kerap mulut dalam keadaan berasid yang menyebabkan kerosakan.
Hadkan pengambilan manisan kepada selepas makan berat iaitu sarapan, makan tengahari atau makan malam.(Setelah makan manisan pemberusan gigi harus dilaksanakan)*
Hanya beri minuman air atau susu tawar pada antara waktu makan. Hadkan minuman manis kepada waktu makan utama sahaja*.
ika perlu makanan ringan, berikan makanan ringan yang sihat seperti keropok, kacang rebus, buah-buahan dan roti. Elakkan makanan ringan yang manis dan bergula.
Semua makanan dan minuman mengandungi gula, bukan hanya gula-gula dan coklat boleh menyebabkan kerosakan gigi.
Waktu tidur malam
Semasa tidur, air liur bertakung didalam mulut dengan sisa makanan dan minuman. Inilah masanya di mana baki gula dalam mulut akan menyebabkan paling banyak kerosakan pada gigi dan gusi. Untuk mengelakkan kerosakan ini, adalah sangat penting gigi diberus sebelum tidur pada malam hari.
Setelah memberus gigi sebelum tidur, tidak patut makan atau minum lagi kecuali meminum air masak yang tawar (tanpa gula).
Adakah anak anda masih menyusu botol?
Kanak-kanak patut berhenti menyusu botol/ badan dari umur 12 ke 14 bulan.
Elakkan dari memberi anak anda susu yang manis atau berperisa.
Penggunaan botol susu yang berlarutan akan menyebabkan kerosakan yang teruk pada gigi di kenali sebagai karies awal kanak-kanak. Apabila keadaan sedemikian berlaku ia akan menyebabkan hampir semua atau kesemua gigi yang erupt / ada dalam mulut mengalami kerosakan. Kerosakan berlaku dengan begitu pantas sehingga melibatkan bahagian pulpa gigi dalam masa yang singkat. Pada peringkat ini anak puan akan mengalami sakit gigi dan bengkak gusi hingga memerlukan cabutan gigi tersebut. Keadaaan sedemikian mesti lah di elakkan untuk menghindar berlakunya pendarahan berlanjutan.
Kanak-kanak yang berumur lebih dari setahun seharusnya diajar menggunakan cawan untuk meminum susu.
Melawat klinik gigi
Kanak-kanak dengan masalah pedarahan perlu dipantau dengan rapi dan dijaga kesihatan gusi dan gigi mereka. Lawatan ke klinik gigi secara berkala adalah sangat penting agar penjagaan dan rawatan awal dapat dijalankan.
Kanak-kanak yang selalu ke klinik gigi akan merasa biasa dan dapat menerima rawatan dengan lebih baik.
Ingatan penting : Pastikan anda memaklumkan kepada doktor gigi yang merawat anak anda tentang masalah perdarahan atau lain-lain masalah perubatan anak anda.
SENAMAN UNTUK KANAK-KANAK
Ia boleh menyebabkan:-
- Kegemukan; 1 daripada 4 kanak-kanak di Malaysia adalah gemuk.
- Diabetes Melitus jenis 2.
- Peningkatan risiko mendapat penyakit jantung dan angin ahmar.
Faedah Bersenam
- Penambahbaikan kekuatan dan daya tahan otot.
- Penambahbaikan ketegangan otot dan postur badan.
- Membina tulang yang sihat.
- Penambahbaikan kelenturan sendi.
- Pengekalan kawalan berat badan.
- Mengurangkan tahap kebimbangan dan stres.
- Mengurangkan risiko mendapat penyakit diabetes, jantung dan angin ahmar.
- Meningkatkan fungsi jantung dan paru-paru.
- Pengeluaran hormon endorphine untuk kehidupan yang sejahtera.
Senaman Secara Intensif
Senaman aerobik adalah baik untuk kanak-kanak seperti:-
- berenang
- bermain bola sepak
- bermain tenis
Bagi kanak-kanak yang tidak aktif, adalah disarankan untuk bersenam selama 30 minit sehari dan tingkatkan sehingga satu jam secara beransur-ansur.
Senaman yang Selamat
- Pakailah pakaian dan kasut yang sesuai dan selesa.
- Guna peralatan keselamatan seperti topi keledar, kaca mata yang menghalang kemasukan air (google), pelindung mulut, pelapik dan sebagainya.
- Elakkan daripada bersenam dalam tempoh 2 jam selepas makan.
- Pastikan minum air secukupnya sebelum dan selepas senaman bagi mengantikan cecair yang hilang melalui peluh. Elak mengambil air berkarbonat.
- Elakkan daripada bersenam di persekitaran yang tidak sesuai seperti tempat yang gelap, cuaca yang panas dan udara yang tercemar.
- Jangan terus mandi selepas senaman. Tunggu sehingga badan menjadi sejuk dan tidak berpeluh.
- Gunakan alat pemantul cahaya (reflector) pada baju anda ketika berbasikal atau berjoging pada waktu subuh atau malam.
- Jika berjoging di jalan raya, lakukannya dengan berlari berlawanan arah lalu lintas supaya anda dapat melihat kenderaan yang menuju ke arah anda. Elak bersenam di jalan yang penuh sesak dengan kenderaan.
Sesi Pemanasan Badan Sebelum Senaman
Sebab-sebab:-
- Memanaskan otot.
- Menambahkan peredaran darah ke otot.
Bagaimana untuk memanaskan badan?
Terdapat tiga peringkat yang penting:
- Memanaskan otot-otot yang akan digunakan seperti berjoging selama 2 hingga 3 minit, mulakan dengan berenang atau berbasikal secara perlahan-lahan.
- Regangan (15 minit) - lakukan setiap regangan 10 hingga 20 saat. Lakukan regangan tetapi tidak sehingga mencederakan otot.
- Senaman khusus - berlatih kemahiran seperti menendang, melontar atau aktiviti yang bertenaga tinggi.
Sesi penyejukan badan selepas senaman
Sebab-sebab:
- Merehatkan otot.
- Membuang bahan perkumuhan.
- Penambahbaikan kelenturan.
Bagaimana menyejukkan badan?
- Kurangkan tahap aktiviti secara beransur-ansur.
- Ulang regangan yang dilakukan dalam sesi pemanasan badan sebelum senaman.
No comments:
Post a Comment